Projek Tahunan Global Peace Mission Malaysia

1. Iftar For The Needy (IFTN)

Iftar For The Needy (IFTN) atau Bantuan Berbuka Puasa Buat yang Memerlukan merupakan salah satu projek bantuan utama yang dianjurkan oleh GPM setiap tahun dan ianya dilaksanakan pada bulan Ramadan.

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.”

Mengambil ibrah dari hadis baginda Nabi Muhammad SAW, IFTN memberi fokus pada penyaluran bantuan seperti makanan untuk berbuka puasa, pek barang-barang mentah yang boleh digunakan untuk tempoh sebulan di samping keperluan-keperluan asasi yang lain seperti keselesaan serta keperluan tempat tinggal, pakaian, sanitasi dan kebersihan wanita dan keperluan bayi kepada pelarian-pelarian serta mereka yang kurang bernasib baik dalam menunaikan. GPM akan menghantar bantuan-bantuan ini samada secara langsung iaitu turun sendiri ke lapangan mahupun tidak langsung melalui rakan pelaksana di setiap negara yang terlibat.


2. Qurban For The Needy (QFTN)

Sebuah lagi projek utama yang dianjurkan GPM setiap tahun bagi meraikan keagungan Hari Raya Aidiladha adalah Projek Qurban for the Needy (QFTN). Projek ini akan dilaksanakan pada setiap 10,11,12 dan 13 Zulhijah di hampir 21 buah negara termasuk di Malaysia.

QFTN kebiasaannya akan melibatkan penyertaan korban dari penyumbang-penyumbang yang ingin melaksanakan ibadah korban di luar negara di mana GPM akan menjadi wakil dalam menyaksikan aktiviti penyembelihan di negara-negara terlibat. Bantuan utama yang dihantar adalah daging-daging korban di samping penyaluran keperluan asas kehidupan yang lain seperti bantuan pek makanan asasi, perubatan serta keperluan pendidikan.


3. Winter Aid For The Needy (WAFTN)[2]

Musim sejuk mungkin menjadi musim yang dinanti-nanti penuh keterujaan. Namun tidak bagi mereka yang sedang berhadapan dengan konflik kemanusiaan seperti peperangan dan juga kemiskinan apatah lagi terpaksa menghadapi musim sejuk dengan segala kekurangan. Justeru GPM melalui projek Winter Aid For The Needy (WAFTN) memfokuskan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesusahan sewaktu musim sejuk.

Antara jenis-jenis bantuan yang akan disalurkan melalui projek ini adalah bantuan makanan, kit musim sejuk yang merangkumi kelengkapan diri seperti baju sejuk, topi salji, sarung tangan, kasut dan stoking di samping selimut tebal dan minyak tanah atau bahan bakar yang akan digunakan untuk memanaskan kediaman mahupun khemah-khemah pelarian.